Senin, 28 Mei 2012

senyummu senyumku

al farobi

Salwa ketap bibir kuat-kuat. Gigi dikancing rapat-rapat. Nafasnya berdengus menahan marah. Geram bukan kepalang. Matanya memandang kumpulan pelajar lelaki di hujung kelas. Amin, Akmal, Azim, dan Suhaidi. Dalam ramai-ramai itu ada seorang ketuanya
Amin. Nama baik bukan kepalang, tapi perangai macam jembalang! Dengusnya dalam hati.
Salwa anak Limah, gila tak tentu arah
Berulang kali mereka mengejek Salwa. Ikutkan hati mahu sahaja dia tampar budak-budak yang mengejeknya. Bukan dia takut sangat dengan budak-budak lelaki itu. Tapi emaknya dulu selalu berpesan, kalau orang berbuat jahat, jangan dibalas jahat. Tuhan marah. Emaknya tidak pernah lali mengingatkan. Itu emaknya, Limah.
Dulu Limah tidak gila. Limah wanita penuh taat, penuh budi. Tapi Abas, ayah Salwa memang tidak pernah kenang budi. Kalau tidak kerana Limah, Abas sudah merempat mati tepi jalan. Mujur keluarga Limah ambil Abas jadi anak angkat, kemudian jadi menantu. Sebab Limah anak kesayangan, tanah sawit berekar jadi milik Abas juga.
Semua gadis jadi iri pada Limah sebab bersuamikan Abas. Abas memang kacak. Alis kening lebat. Mata tajam memikat. Limah beranak Salwa lepas setahun mereka berkahwin. Abas jadi orang paling gembira. Sawit dan getah menjadi sungguh lepas Salwa lahir. Mereka sekeluarga hidup aman damai.
Tapi lama-lama perangai Abas yang macam malaikat itu bertukar jadi pelesit. Syaitan mana merasuk Abas hingga jadi gila judi dan todi. Abas selalu balik lewat malam mabuk-mabuk. Bila mabuk, dia sepak terajang bininya di rumah. Limah pula mengandung anak kedua setelah sekian lama.
Akibat selalu kena dera, Limah keguguran anaknya. Sejak itu, Limah jadi gila meroyan. Abas pula hilang entah ke mana. Salwa waktu itu baru dua belas tahun. Dia yang menjaga emaknya setiap hari. Mujur ada Wan Kiah jirannya dan Mak Ngah Salmah menengok-nengok emaknya bila Salwa ke sekolah. Seluruh kampung tahu emaknya gila. Tapi Limah tetap emak Salwa dan Salwa kasih benar akan emaknya itu.
Sebab itu bila orang ejeknya dengan Salwa anak Limah gila dia tidak kisah sangat. Dia jadi lali.
Biarlah orang mahu mengata emaknya itu. Salwa tahu emaknya itu senang masuk syurga. Dia teringat pesan Ustazah Azizah bila dia datang mengadu tentang Amin yang suka mengejeknya. Ustazah Azizah kata, orang macam emaknya bukan mukallaf, tidak ada tanggungjawab macam orang lain.
Salwa tenang bila Ustazah Azizah memberinya kata-kata semangat. Ustazah Azizah mengajarnya sejak tingkatan 1. Sekarang Salwa sudah masuk tingkatan 4. Dia bersyukur sebab ada cikgu macam Ustazah Azizah yang mengambil berat mengenai dirinya dan emaknya.
Kampung Salwa itu terletak jauh benar di pedalaman. Kampungnya kecil saja. Bekalan eletrik atau orang kampung panggil ‘karen’ hanya ada waktu senja hingga subuh.Tiap kali waktu senja, generator di hujung kampung akan berbunyi macam rantai motor kapcai yang Amin bawa keliling kampung hari-hari. Orang kampung tanam getah dengan kelapa sawit bawah rancangan Felda. Salwa masih ada beberapa ekar tanah kelapa sawit yang tidak sempat dijual Abas ketika kalah judi. Pak Ngahnya yang mengurus kini lepas ayahnya Abas menghilangkan diri. Dengan duit itulah Salwa dan Limah makan dan hidup sehari-hari.
Salwa tidak pernah keluar dari kampung itu sejak lahir. Paling jauh pun ke kampung sebelah. Bukan dia ada siapa-siapa jika ke tempat lain. Adik-beradik emaknya yang lima orang semuanya duduk di kampung itu. Mujurlah adik-beradik emaknya tidak pernah bergaduh berebutkan tanah atau harta.
Kawan-kawannya yang lain pun jarang benar keluar dari kampung itu. Lepas sekolah, kerja di ladang atau paling jauh pun di kilang sawit di kampung sebelah.Kalau mahu makan sayur, boleh petik dari kebun belakang rumah. Kalau mahu makan ikan boleh menjala di sungai. Kalau mahu makan buah, kait pohon rambutan dan jambu depan rumah. Bukan susah sangat. Kalau mahu beli kereta atau motor, boleh jual tanah pada tauke Lee, dia boleh usahakan. Kahwin pun sama-sama mereka juga. Sepupunya Mawar berkahwin dengan anak Wan Kiah. Dengar cerita Suhaidi mahu meminang Kalsom, teman baiknya tahun depan bila tamat sekolah. Amin pun sudah mula jadi baik alim-alim kucing depannya. Kata Suhaidi, Amin si pelesit tu sudah jatuh hati sama dia. Salwa buat tidak layan. Dulu kata emaknya gila. Sekarang ada hati ingin jadi menantu!
Suatu hari, ada sekumpulan pelajar universiti dari Kuala Lumpur datang ke sekolah Salwa buat program motivasi. Mereka bercerita tentang kehidupan di universiti dan Kuala Lumpur. Dalam banyak-banyak pelajar universiti itu, Salwa ada suka seorang. Kak Amirah namanya. Kak Amirah orang kampung macam Salwa juga.Orang Felda juga dari Johor. Salwa jadi ghairah mahu tahu tentang Kak Amirah. Dia jadi kagum akan kak Amirah yang boleh masuk universiti malah ambil bidang guaman. Setahu Salwa, tidak ada lagi anak kampungnya itu pergi ke universiti macam kak Amirah. Dalam diam, Salwa mahu jadi macam Kak Amirah, mahu jadi peguam syariah yang bela nasib wanita macam emaknya yang ditinggal suami. Dia pernah baca novel Nisah Haron di perpustakaan sekolah tentang kerjaya peguam. Tapi dia tidak tahu sangat. Jadi dia banyak bertanya pada Kak Amirah.
Malam selepas Kak Amirah tinggalkan Salwa untuk pulang ke Kuala Lumpur, Salwa banyak berfikir. Anak gadis di kampungnya itu paling tinggi pun belajar smpai Tingkatan 5. Bila habis belajar terus disuruh kahwin. Dia teringat Maimunah, kakak Kalsom kena kahwin dengan Pak Ujang yang sama baya dengan Abas, ayahnya. Sebabnya Pak Ujang punya tanah paling banyak dalam kampung, jadi ayah Kalsom kata nanti boleh hidup senang. Salwa tidak tahu Maimunah itu rela atau tidak. Sebab Salwa tahu, Maimunah ada orang lain yang dia suka. Kalsom sendiri yang membocor cerita padanya.
Tapi Salwa tahu, Pak Ngahnya, adik emaknya itu bukan kolot sangat. Malah ada saudara jauh belah Mak Ngahnya sudah sampai ke universiti. Salwa pernah berjumpa dengannya masa kenduri kahwin sepupunya.Salwa yakin dia boleh masuk universiti macam Kak Amirah.
Malam itu, Salwa terlena dalam mimpi indah. Dalam mimpi itu, dia lihat emaknya, Limah tersenyum bangga lihat Salwa berdiri sebelah Kak Amirah. Lepas itu dia dan Kak Amirah masuk ke dewan kuliah sama-sama belajar dengan pensyarah.
Salwa senyum dalam hati. Hingga ke pagi.
Secebis cerita…
ditujukan khas untuk cikgu Rozita Ishak, guru kelas 2, Tadika Kemas Felda Chemomoi (1995)
yang mengajar tulis, baca dan kira.
untuk anak-anak Felda Palong 11,
yang menyedarkan tentang dunia yang tak tersingkap.
Aisyah Abd Razak
National University of Ireland, Galway
Setiausaha ISMA Galway
Blog: Kisah-kisah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar